Fitnah Dajjal
Sabda Rasulullah s.a.w: "Dan di antara fitnahnya iaitu fitnah dajjal ialah ia akan berkata kepada orang-orang Arab kampung, 'Bagaimana pendapatmu jika aku membangkitkan ayahmu dan ibumu, apakah kamu mahu bersaksi bahawa aku adalah Tuhanmu?' Dia manjawab: 'Ya.' Kemudian dua syaitan yang menyerupakan diri dengan ayahnya dan ibunya, lantas keduanya berkata: 'Wahai anakku, ikutilah dia sesungguhnya dia adalah Tuhanmu." (HR Ibn Majah)
Dajjal adalah pembawa fitnah yang paling besar di antara fitnah-fitnah yang ada sejak Allah menciptakan Adam hingalah ke hari kiamat. Antara fitnahnya lagi ialah dajjal memiliki syurga dan neraka padahal hakikatnya syurga tersebut adalah neraka dan neraka itu adalah syurga. Dajjal mempunyai sungai-sungai air dan gunung-gunung roti. Dia memerintahkan langit untuk menurunkan hujan lantas turunlah hujan tersebut. Dia memerintahkan bumi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dengan segala hasilnya. Dia dapat melintasi bumi dari satu tempat ke tempat lain dengan sepantas yang luar biasa bagaikan hujan yang ditiup angin kencang. [Peristiwa menjelang kiamat Tanda-tanda Besar, Yusuf bin Abdullah bin Yusuf Al-Wabil Ma,hlm 83,Al-Hidayah]
Dalam hadis Nawwas bin Sam'an r.a. bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai dajjal: "Wahai Rasulullah, berapa lamakah ia tinggal di bumi?" Baginda menjawab: "Selama empat puluh hari, sehari seperti setahun, sehari lagi seperti sebulan, dan sehari lagi seperti sejumaat dan hari-hari lainnya seperti hari-harimu (seperti biasa)." Mereka bertanya: "Bagaimanakah kecepatan bumi?" Baginda menjawab: "Seperti hujan ditiup angin kencang." Lalu ia mendatangi suatu kaum dan diajaknya kaum itu,kemudian mereka mempercayainya dan memenuhi seruannya. [HR Muslim]
Perlindungan dari Fitnah Dajjal
Nabi-nabi sekaliannya telah memperingatkan umatnya akan fitnah-fitnah dajjal. Telah disampaikan kepada kita bagaimana ciri-ciri dajjal dan fitnah-fintah yang dibawanya adalah untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. ini sentiasa waspada terhadap dajjal kerana munculnya dajjal ini adalah pada zaman umat Nabi Muhammad s.a.w. kerana nabi Muhammad adalah penutup para Nabi. Hendaklah kita memohon perlindungan daripada Allah dari fitnah dajjal ini. Cara-cara memohon perlindungan adalah:
1. Berpegang teguh dengan agama Islam dan bersenjatakan iman dan mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah yang tidak bersekutu padanya dengan seorangpun sehinggalah ia mengetahui bahawa Dajjal adalah makhluk biasa yang makan dan minum sedangkan Allah maha suci dari semua itu.
2. Memohon perlindungan ketika tahiyyat terakhir sebelum salam dengan membaca doa berikut:
اللَّهُمَّ اِنِّيْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ عَذَاْبِ جَهَنَّمْ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاْتِ ومِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّال
"Ya Allah, aku memohon perlindungan dari azab jahannam dan dari azab kubur dan dari fitnah hidup dan mati dan dari seburuk-buruk fitnah al-Masih ad-Dajjal." [HR Muslim dari Abu Hurairah r.a.]
3. Menghafal atau membaca 10 ayat awal surah al-Kahfi atau 10 ayat terakhir surah al-Kahfi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim kitab al-Fitan, Bab Zikr ad-Dajjal. Antara keistimewaan surah al-Kahfi adalah sebagaimana sabda Nabi s.a.w. daripada Abi Sa'id al-Khudri r.a: "Sesungguhnya orang yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat maka diberi cahaya untuknya di antara dua Jumaat (jumaat ini dan jumaat depan)." [Hadis riwayat al-Hakim, Disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Jami' Shaghir]
4. Jika telah muncul Dajjal, hendaklah ia bersembunyi dan adalah lebih baik menetap di Mekah dan Madinah kerana Dajjal tidak akan dapat memasuki Kota ini dan Masjid-masjid yang telah di sebutkan sebelum ini [rujuk bhgn 1]. Sabda Nabi: "Barang siapa mendengar ada Dajjal maka hendaklah ia bersembunyi darinya. Demi Allah ada seseorang yang mendatanginya dan dia mengira bahawa ia beriman lantas dia mengikutinya kerana banyak syubhat atau kesamaran yang menyertainya." [HR Ahmad, Abu Daud dan Hakim]
Matinya Dajjal
Dengan Matinya Dajjal, maka berakhirlah fitnah terbesar itu dan Allah menyelamatkan orang-orang beriman.
petikan dari blog AL-MUWAHHIDUN.
No comments:
Post a Comment